NABI ISA AS
Seorang lagi Nabi Allah yang diceritakan dari
kecil di dalam al-Qur'an ialah Isa. Baginda diutus kepada kaum Bani
Israil dengan kitab Injil yang diturunkan sebelum al-Qur'an.
Di dalam al-Qur'an, Nabi Isa disebut dengan
empat panggilan iaitu Isa, Isa putera Mariam, putera
Mariam, dan al-Masih.
Ibunya
seorang yang sangat dimuliakan Allah. Dia memilihnya di atas semua
perempuan di semua alam. Firman-Nya, "Dan ketika malaikat-malaikat
berkata, 'Wahai Mariam, Allah memilih kamu, dan membersihkan kamu, dan
Dia memilih kamu di atas semua perempuan di semua alam'" (3:42).
Mariam, ibu Nabi Isa, telah menempuh satu
ujian yang amat berat daripada Allah. Dia dipilih untuk melahirkan
seorang Nabi dengan tanpa disentuh oleh seseorang lelaki. Dia adalah
seorang perempuan yang suci.
Kelahiran
Kelahiran Nabi Isa merupakan suatu mukjizat
kerana dilahirkan tanpa bapa. Kisahnya diceritakan di dalam al-Qur'an.
Di sini, ceritanya bermula dari kunjungan malaikat kepada Mariam atas
perintah Allah. Ketika itu, malaikat menyerupai manusia dengan tanpa
cacat. Kemunculan malaikat membuat Mariam menjadi takut lalu berkata,
"Aku
berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa (takut
kepada Tuhan)!'
Dia (malaikat) berkata,
'Aku hanyalah seorang rasul yang datang daripada Pemelihara kamu, untuk
memberi kamu seorang anak lelaki yang suci.'" (19:18-19)
Pada ayat yang lain,
diceritakan bahawa malaikat yang datang itu telah memberi nama kepada
putera yang bakal dilahirkan. Nama itu diberi oleh Allah, dan dia (Isa)
akan menjadi terhormat di dunia dan akhirat sambil berkedudukan dekat
dengan Tuhan. Ayatnya berbunyi:
"Wahai Mariam, Allah menyampaikan kepada kamu berita
gembira dengan satu Kata daripada-Nya, yang namanya al-Masih, Isa
putera Mariam, terhormat di dunia dan di akhirat, daripada orang-orang
yang didekatkan." (3:45)
Kemudian Mariam bertanya,
"Bagaimanakah aku akan ada
seorang anak lelaki sedang tiada seorang manusia pun menyentuhku, dan
bukan juga aku seorang jalang?" (19:20)
Malaikat menjawab,
"Dia
(Allah) berkata, 'Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah
bagi-Ku; dan supaya Kami membuat dia satu ayat (tanda) bagi manusia,
dan satu pengasihan daripada Kami; ia adalah perkara yang telah
ditentukan'" (19:21).
Maka lahirlah Isa putera Mariam lebih enam
ratus tahun sebelum Nabi Muhammad dilahirkan. Allah membuat Nabi Isa
dan ibunya satu ayat (tanda) bagi manusia, iaitu tanda untuk
menunjukkan kebesaran-Nya (23:50).
Allah juga menyatakan bahawa Nabi Isa adalah
seperti Adam, walaupun Adam diwujudkan tanpa ibu dan bapa. Kesamaan
mereka berdua adalah pada ciptaan. Kedua-duanya dicipta daripada tanah (3:59). Itu
menunjukkan mereka adalah manusia biasa, kerana manusia dicipta
daripada tanah.
Kerasulan dan
Kenabian
Isa adalah seorang Nabi
dan juga seorang Rasul. Baginda dan beberapa orang rasul telah
dilebihkan Allah daripada rasul-rasul lain. Ada yang Dia berkata-kata
kepadanya, ada yang Dia menaikkan darjat, dan bagi Isa, Dia memberi
bukti-bukti yang jelas serta mengukuhkannya dengan Roh Suci.
Firman-Nya:
"Dan
rasul-rasul itu, sebahagian Kami melebihkan di atas sebahagian yang
lain. Sebahagian ada yang kepadanya Allah berkata-kata, dan sebahagian
Dia menaikkan darjat. Dan Kami memberikan Isa putera Mariam bukti-bukti
yang jelas, dan Kami mengukuhkan dia dengan Roh Qudus (Suci)." (2:253)
Namun begitu, manusia dilarang oleh Allah
untuk membeza-bezakan antara para rasul dan Nabi. Larangan itu
berbunyi,
"Katakanlah,
'Kami percaya kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami, dan
apa yang diturunkan kepada Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub,
dan puak-puak, dan apa yang diberi kepada Musa, dan Isa, dan apa yang
diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak
membeza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami
muslim.'" (2:136)
Akibat
membeza-bezakan Nabi atau Rasul dapat dilihat pada hari ini, iaitu
Nabi Isa dipercayai oleh sesetengah pihak sebagai Tuhan atau anak
Tuhan, dan Nabi Muhammad, dianggap macam Tuhan, yang berhak membuat
hukum agama.
Ajaran
Oleh kerana Isa seorang
Nabi baginda diberi sebuah Kitab, Injil, yang mengandungi petunjuk dan
cahaya untuk menjadi pegangan Bani Israil. Selain menyuruh Bani Israil
menyembah Allah dengan mentaati Injil, baginda mengesahkan kitab Taurat
yang diturunkan sebelumnya. Dua firman Allah menjelaskannya di sini,
berbunyi:
"Dan Kami mengutus, menyusuli jejak-jejak mereka, Isa
putera Mariam, dengan mengesahkan Taurat yang sebelumnya; dan Kami
memberinya Injil, di dalamnya petunjuk dan cahaya," (5:46) dan,
"Aku (Isa) hanya mengatakan kepada mereka apa yang
Engkau memerintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku
dan Pemelihara kamu.'" (5:117)
Turut disebut di dalam Injil (dan Taurat)
ialah berita mengenai kedatangan seorang Nabi berbangsa Arab, atau
ummiy (7:157),
dan janji dikurniakan Taman atau Syurga bagi orang-orang yang
berperang di jalan Allah (9:111). Janji itu
juga didapati di dalam Taurat dan al-Qur'an.
Ketika baginda diutus,
manusia sedang berselisih dalam hal agama. Maka kedatangannya adalah
juga untuk memperjelaskan apa yang diperselisihkan. Firman Allah:
"dia (Isa) berkata, 'Aku
datang kepada kamu dengan kebijaksanaan, dan supaya aku memperjelaskan
kepada kamu sebahagian apa yang dalamnya kamu memperselisihkan; maka
kamu takutilah Allah, dan taatlah kepadaku.'" (43:63)
Baginda juga memberitahu tentang kedatangan
seorang rasul selepas baginda, yang namanya akan dipuji. Ayat yang
mengisahkannya berbunyi:
"Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku (Isa) rasul Allah kepada
kamu, mengesahkan Taurat yang sebelum aku, dan memberi berita gembira
dengan seorang rasul yang akan datang selepas aku, namanya ahmad
(dipuji).” (61:6)
Pengikut
setia
Seperti Nabi atau Rasul
yang lain, baginda mempunyai pengikut-pengikut yang setia dan juga yang
tidak setia atau yang menentang. Pengikut-pengikutnya yang setia
percaya kepada Allah dan kepadanya. Mereka adalah muslim. Firman Allah:
"Dan ketika Aku mewahyukan
pengikut-pengikut yang setia, 'Percayalah kepada-Ku, dan rasul-Ku';
mereka berkata, 'Kami percaya, dan saksilah Engkau akan kemusliman
kami.'" (5:111)
Pengikut-pengikut
yang setia pula menjadi penolong-penolong, bukan baginya tetapi bagi
Allah. Firman-Nya:
"Berkatalah
pengikut-pengikutnya yang setia, 'Kami akan menjadi penolong-penolong
Allah; kami percaya kepada Allah, dan saksilah kamu akan kemusliman
kami.'" (3:52)
Begitu
juga bagi pengikut-pengikut setia Nabi-Nabi lain, termasuk Muhammad.
Semuanya menjadi penolong-penolong Allah, untuk melaksana dan
menyampaikan mesej-Nya. Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu
penolong-penolong Allah, sebagaimana Isa putera Mariam berkata kepada
pengikut-pengikut yang setia, 'Siapakah yang akan menjadi
penolong-penolong aku bagi Allah?' Pengikut-pengikut yang setia berkata,
'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah.'" (61:14)
Walau bagaimana pun, pengikut-pengikut Nabi
Isa yang setia memerlukan bukti selanjut untuk megesahkan kebenarannya
dan supaya hati mereka menjadi tenteram. Untuk itu mereka memohon
sebuah meja hidangan dari langit. Kisahnya berbunyi begini:
"Dan apabila pengikut-pengikut yang setia
berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, bolehkah Pemelihara kamu menurunkan
kepada kami sebuah meja hidangan dari langit?'
Dia
(Isa) berkata, 'Kamu takutilah Allah, jika kamu orang-orang mukmin.'
Mereka berkata, 'Kami
menghendaki untuk memakan daripadanya, dan hati kami menjadi tenteram,
supaya kami mengetahui bahawa kamu berkata benar kepada kami, dan
supaya kami adalah antara para saksinya.'" (5:112-113)
Justeru itu, Isa memohon kepada Allah,
"Ya Allah, Pemelihara
kami, turunkanlah kepada kami sebuah meja hidangan dari langit, yang
akan menjadi bagi kami satu perayaan, yang pertama dan yang akhir bagi
kami, dan satu ayat (tanda) daripada Engkau. Dan berilah rezeki untuk
kami; Engkau yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki." (5:114)
Allah mengabulkan permintaannya. Lantas, meja
hidangan yang turun menjadi satu lagi mukjizat bagi Nabi Isa. Dan ia
juga menjadi nama sebuah surah di dalam al-Qur'an, iaitu surah kelima,
al-Maidah.
Mukjizat
Selain daripada kelahiran yang luar biasa dan
meja hidangan, Nabi Isa telah dikurniakan dengan beberapa mukjizat
lain. Ayat berikut menjelaskannya:
"Ketika Allah berkata, 'Wahai Isa putera Mariam,
ingatlah akan rahmat-Ku ke atas kamu, dan ke atas ibu kamu, apabila Aku
mengukuhkan kamu dengan Roh Qudus (Suci), untuk berkata-kata
kepada manusia di dalam buaian dan setelah dewasa ..... dan apabila
kamu mencipta daripada tanah liat, dengan izin-Ku, yang seperti bentuk
burung, dan kamu menghembuskan ke dalamnya, lalu jadilah ia seekor burung,
dengan izin-Ku, dan kamu menyembuhkan orang buta, dan orang sakit
kusta, dengan izin-Ku, dan kamu mengeluarkan orang yang mati,
dengan izin-Ku' ..... lalu orang-orang yang tidak percaya antara
mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan sihir yang nyata.'" (5:110)
Walaupun Nabi Muhammad hanya diberi satu
mukjizat, manusia ditegah daripada berkata bahawa Nabi Isa adalah lebih
mulia daripada Nabi Muhammad. Kerana, seperti yang sudah maklum,
amalan membeza-beza para Nabi dan Rasul dilarang Allah. (Sila rujuk Tidak
Mempercayai Mukjizat Nabi?)
Wafat
Tidak seperti kepercayaan sesetengah orang
iaitu Nabi Isa tidak wafat semasa disalib tetapi diangkat naik ke
langit. Sebenarnya, Nabi Isa telah wafat di bumi, namun bukan disalib.
Baginda telah wafat selepas peristiwa penyaliban ke atasnya di sebuah
tempat lain yang tidak diceritakan di dalam al-Qur'an. Besar
kemungkinan baginda telah melarikan diri dari tempat baginda dijatuhkan
hukum.
Bukti yang menunjukkan
baginda telah wafat di bumi terdapat pada ayat-ayat berikut:
"Apabila Allah berkata, 'Wahai Isa, Aku akan
mematikan kamu, dan menaikkan kamu kepada-Ku, dan Aku
membersihkan kamu daripada orang-orang yang tidak percaya .....'"
(3:55)
"Dan
aku (Isa) seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka;
tetapi setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah
penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Akan tetapi, sebahagian daripada kaum Bani
Israil mengatakan bahawa mereka telah membunuhnya disalib. Allah
mengatakan yang sebaliknya pula. Apa yang berlaku hanya satu kesamaan
sahaja. Firman-Nya:
"ucapan
mereka, 'Kami telah membunuh al-Masih, Isa putera Mariam, rasul
Allah.' Tetapi mereka tidak membunuhnya, dan tidak juga menyalibnya,
tetapi hanya satu kesamaan yang ditunjukkan kepada mereka. Orang-orang
yang berselisih mengenainya benar-benar dalam keraguan terhadapnya;
mereka tidak ada pengetahuan mengenainya, kecuali mengikuti sangkaan;
mereka tidak membunuhnya, yakinlah." (4:157)
Terpesong
Setelah Isa wafat, beberapa perkara telah berlaku.
Pertama, orang-orang yang mengaku pengikut baginda telah menubuhkan
sistem berahib, atau berpaderi, atau sistem berulama dalam agama.
Sistem itu tidak dianjurkan oleh Allah. Firman-Nya:
"Dan rahbaniyah (sistem
berahib) yang mereka reka - Kami tidak menuliskan (menetapkan) untuk
mereka" (57:27).
Kemudian, antara mereka bersetuju untuk mengangkat
Nabi Isa sebagai Tuhan atau anak Tuhan, mungkin kerana kelahiran yang
luar biasa dan mukjizat-mukjizatnya. Mereka yang berbuat demikian telah
terpesong dalam kepercayaan lalu menjadi kafir. Firman-Nya:
"Merekalah
orang-orang yang tidak percaya (kafir), yang berkata, 'Sesungguhnya
Allah, Dia ialah al-Masih putera Mariam'" (5:17), dan
"orang-orang
Kristian berkata, 'Al-Masih ialah putera Allah.' Itu adalah ucapan
daripada mulut mereka, menurut ucapan orang-orang yang tidak percaya
sebelum mereka. Allah memerangi mereka! Bagaimanakah mereka
dipalingkan?" (9:30)
Satu bukti telah didatangkan Allah untuk menunjukkan
kepalsuan kepercayaan mereka. Buktinya adalah pada amalan memakan
makanan, berbunyi:
"Al-Masih, putera Mariam, hanyalah seorang rasul;
rasul-rasul sebelum dia telah berlalu. Ibunya seorang wanita yang
benar; mereka berdua makan makanan. Perhatikanlah bagaimana Kami
memperjelaskan ayat-ayat kepada mereka, kemudian perhatikanlah
bagaimana mereka berpaling." (5:75)
Nabi Isa dan ibunya makan
makanan. Tetapi Tuhan tidak makan. Kalau Dia makan tentu Dia mempunyai
sebuah "pintu kecil" untuk mengeluarkan makanan yang tidak diperlukan
lagi. Tuhan tidak ada pintu tersebut seperti yang terdapat di bahagian
belakang badan manusia atau haiwan.
Sekiranya hujah itu disampaikan kepada
orang-orang yang mempercayai Nabi Isa itu Tuhan atau anak-Nya, tentu
mereka akan berpaling juga dan tetap dengan kepercayaan mereka.
Begitulah manusia dengan kepercayaan agamanya. Mereka lupa menggunakan
akal.
Akhirat
"Wahai Isa putera Mariam, adakah kamu mengatakan kepada manusia,
'Ambillah aku dan ibuku sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah'?"
(5:116)
Nabi
Isa akan menjawab:
"Kepada
Engkau sanjungan! Tiadalah bagiku untukku mengatakan apa yang aku
tiada hak dengannya. Jika aku mengatakannya, Engkau mengetahuinya,
dengan mengetahui apa yang di dalam jiwaku, dan aku tidak mengetahui
apa yang di dalam jiwa Engkau; sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui
yang ghaib." (5:116)
Jawapannya
bersambung lagi:
"Aku
hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku
dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.' Dan
aku seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi
setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas
mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Nabi Muhammad juga akan ditanya di akhirat
atas sesuatu yang amat berat juga. Baginda ditanya mengenai sambutan
kaumnya terhadap al-Qur'an. Jawapan baginda berbunyi:
"Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku
mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan." (25:30)
Itulah yang berlaku pada hari ini. Ajaran
al-Qur'an tidak dipedulikan. Namun, masa masih ada untuk semua kembali
kepada ajaran al-Qur'an.